Wednesday, June 12, 2013

Siri Pengembaraan : Sabah, Abang Datang... (Part 1)

Part 1: Lapar, Penat dan Sejuk

Kira-kira setahun yang lalu pada tarikh ini (12/6/2013), satu-satunya isteri ku yang sah telah menempah tiket penerbangan tambang murah terbaik dunia ke Kota Kinabalu (KK). Perancangan rapi ini dibuat bersama beberapa rakan sejawat tanpa dapat dihidu oleh pihak suami. Setelah tempahan dibuat, baru disampaikan kepada sang suami. Walaupun mengejutkan, tetapi para suami tetap cool. Sememangnya lelaki sifatnya begitu.

Secara detilnya, pengembaraan ini melibatkan 4 buah keluarga. Kecuali pasangan En Sharuddin dan Pn Hakimah, keluarga yang lainnya sudah mempunyai anak. Pn Hakimah sedang mengandung pada ketika ini. Pn Muliaty pula terpaksa menarik diri saat akhir atas sebab keselamatan kandungan. Pn Muliaty sedang sarat mengandung anak keempat ketika ini. Semasa tempahan tiket dibuat, beliau belum mengandung. Moralnya, jangan tempah tiket penerbangan tanpa pengetahuan suami. Akibatnya En Fahmi terpaksa berseorangan bersama 3 orang anaknya menghadapi pengembaraan ini. Massive respect! Pasangan lain ialah Pn Musalmah dan En Fahruz bersama 2 orang anak daranya.

Penerbangan dari KLIA pada jam 12 tengah hari dan tiba di KK jam 2.30 petang. Cuaca di KK ketika itu mendung. Orang putih sebut "cloudy". Memang sesuailah dengam gelaran Sabah Negeri di Bawah Bayu. Sedang elok pesawat mendarat, hujan yang agak lebat mencurah. Dengan menyewa 2 buah kereta viva elite dan 2 buah kereta Proton Saga (sewa daripada En Jaya staf Politeknik KK), kami terus ke tempat penginapan, Kinabalu Pine Resort, Kundasang. Perjalanan dalam cuaca hujan mengambil masa 3 jam. Penat, lapar dan sejuk.

Oleh kerana tiba dalam hari yang hampir malam, tidak banyak gambar dapat ditangkap. Destinasi esoknya ialah "mandi bersama ikan kelah" dan melawat ladang ternakan lembu ala new zealand.

Saturday, February 16, 2013

Selamat Maju Jaya Warga Bangladesh!

Dulu pernah aku menulis tentang warga Nepal membuka perniagaan di Pelabuhan Klang. Kalau berminat, sila cari sendiri entri tersebut.

Pada suatu Ahad, aku ke kedai menjahit baju untuk memotong kaki seluar silat Ibrahim dan menampal logo persatuan silat di bajunya. Menurut guru silat Ibrahim, dia rekemenkan sebuah kedai di atas bangunan bank rakyat lama di tg malim. Aku pun ke situ. Pesan tok guru itu, "tukang jahitnya bangla".

Wah, bangla pun dah pandai menjahit? Hujung tahun lepas, aku mengupah seorang warga Bangladesh untuk menyimen bahagian belakang rumah aku. Awal tahun ini pula, aku mengupah seorang warga Bangladesh dan isterinya seorang warga Indonesia untuk memasang jubin di bahagian parkir rumah aku. Di kawasan perumahan aku ada 2 buah kedai runcit yang diusahakan oleh warga Bangladesh. Selama ini Ku fikirkan kepakaran mereka hanya di stesen minyak, pasaraya dan kilang sahaja. Tapi kini, mereka telah mengembangkan kepakaran mereka ke bidang peruncitan, pembinaan dan jahitan. Tidak mustahil selepas ini akan ada di antara mereka menceburkan diri dalam bidang rekaan fesyen dan hiasan dalaman. Ini namanya kemajuan!

Gambar di atas adalah pemandangan di dalam kedai jahitan tersebut. Wanita di dalam gambar itu ialah seorang pelanggan. Kedai ini juga sedia menerima tempahan baju korporat dan seragam pada harga yang berpatutan. Ah, sudah macam promosi pula!

Berdasarkan kepada pemerhatian aku, terdapat 5 orang pekerja yang semuanya terdiri daripada warga Bangladesh. Dari 5 orang itu, seorang yang fasih berbicara bahasa Melayu. Mungkin dia ialah bos. Nazrol namanya (Tiada dalam gambar di bawah). Steady je abang tu pakai singlet.

Daripada tempahan yang ditulis di papan notis, kedai mereka ini boleh dikatakan maju kerana menerima tempahan yang agak banyak dari agensi kerajaan dan badan berkanun. Upah yang dikenakan untuk memotong kaki seluar ialah RM5 dan untuk menjahit 2 lencana ialah RM4. Agak murah juga! Berdasarkan kepada pengalaman aku, antara kelebihan berurusan dengan warga Bangladesh ini, kita boleh tawar harga serendah mungkin. Kalau gertak mereka sikit, terus mereka gelabah. Haha!

Bagaimana mereka boleh buka premis perniagaan? - Aku tak tahu

Daripada mana mereka dapat modal perniagaan? - Aku tak tahu

Ada permit atau tidak mereka ini? - Juga aku tak tahu.

Jadi, anda warganegara Malaysia, jika warga Bangladesh yang selalu dipandang hina sudah boleh maju begini, mengapa tidak anda? Tanpa BR1M, BL1M, SV1M & SW1M mereka mampu ubah taraf hidup mereka. Syabas warga Bangladesh dan selamat maju jaya!

"KE ARAH MEMAKMURKAN EKONOMI UMAT ISLAM"

Saturday, February 2, 2013

Siri Ensiklopedia Melayu : Kopi....

Kopi, ia sejenis minuman. Sering ia diminum di waktu pagi, ketika bersarapan. Sering juga ia diminum di waktu malam, bagi yang berjaga malam. Kopi diminum untuk menyegarkan mata yang mengantuk. Kandungan kaffein yang begitu tinggi memberi kesegaran kepada tubuh badan. Jika dahulu, bagi masyarakat Melayu, kopi sering dikaitkan sebagai minuman untuk orang-orang tua. Minuman orang-orang muda ialah teh, milo, atau nescafe, walaupun nescafe itu sebenarnya sejenis kopi juga. Sekarang, tidak lagi. Menurut wikipedia, kopi adalah minuman paling banyak diminum di seluruh dunia. Biji kopi adalah barang dagangan kedua terbanyak selepas petroleum. Pengeluar kopi terbanyak ialah Brazil, diikuti oleh Vietnam dan Indonesia. Kedai kopi paling popular ialah Starbuck.

Di Malaysia, industri kopi semakin mendapat tempat. Di Malaysia, kopi pra campuran mendapat tempat di kalangan penggemar kopi. Mengikut kajian aku, antara jenama kopi pra campuran yang terawal ialah Kopi Merah BYG. Aku minum kopi ini masa belajar dahulu. Dengan pengenalan Ali Cafe dan Radix Cafe, ia memberikan impak yang besar kepada pasaran kopi negara.

Kopi Merah BYG
Radix Cafe

Selepas kemunculan tiga jenama kopi campuran ini, warung warung kopi seluruh Malaysia dibanjiri dengan pelbagai jenama kopi pra campuran, antaranya;

Kopi Jantan

Kopi Jantan untuk laki laki. Untuk perempuan? Kopi Janda. Baru lengkap!

Sudah lengkap, barulah boleh senyum...

Terdapat juga kopi untuk kesihatan

Terdapat juga kopi untuk yang "galak"

Itu kopi untuk kucing, untuk abang pun ada,

Nak lagi galak, boleh cuba kopi ini,

Kopi cendawan susu harimau! Siapalah yang berani sangat perah susu harimau tu. Kagum aku. Sebelum ini, kopi termahal dunia ialah Kopi Luwak, yang berasal dari Indonesia. Kopi ini diproses daripada tahi sejenis musang yang gemar memakan buah kopi yang bermutu sahaja. Tetapi, di Thailand telah dikeluarkan sejenis kopi yang diproses daripada tahi gajah! Dan ia merupakan kopi termahal dunia buat masa kini

Namun, kopi yang termahal tidaklah bermakna yang paling sedap. Kopi yang paling sedap terdapat di Malaysia, keluaran bumiputera.

Aku bangga jadi anak Malaysia!

Monday, January 28, 2013

Siri Ensiklopedia Melayu: Nyamuk

Dulu, nyamuk tidak sekecil sekarang. Dulu, saiz nyamuk sebesar manusia. Dulu, sekali nyamuk menghisap darah, mangsanya terus mati. Hisap darah manusia, manusia mati. Hisap darah lembu, lembu mati. Semuanya mati sebab kekeringan darah. Jadi, macam mana pula nyamuk boleh jadi sekecil sekarang?

Pada zaman dahulu, di suatu zaman tidak bertarikh, di suatu kampung tidak diketahui nama di Tanah Melayu, para penduduknya telah bersepakat untuk menyediakan korban untuk tentera nyamuk. Tujuannya ialah untuk menghalang daripada tentera nyamuk ini menyerang kampung mereka dan seterusnya mengakibatkan lebih banyak korban. Maka bergilirlah di antara mereka mempersembahkan korban. Setiap kali hari menjelang senja, korban yang selalunya berupa hewan ternakan akan dihantar ke dalam hutan dan dibiarkan. Bila malam menjelma, bala tentera nyamuk datang menuntut habuan.

Tibalah giliran sebuah keluarga miskin untuk menyediakan korban. Keluarga yang terdiri daripada tiga beranak ini tidak punya hewan ternak melainkan sayuran yang ditanam. Maka anak tunggal mereka, si gadis sunti ini menawarkan diri sebagai korban. Menagislah pasangan suami isteri miskin tadi. Pabila langit mulai gelap, gadis tersebut dihantar ke tempat korban.

Sementara menanti kedatangan gerombolan tentera nyamuk, si gadis ini menyalakan unggun api untuk menerangi kelam malam dan menghangatkan dingin malam. Akibat keletihan, gadis tersebut tertidur. Apabila tersedar dari tidur, hari sudah siang, namun si gadis masih bernyawa. Si gadis pulang ke kampung semula dalam perasaan gembira bercampur bingung.

Gegak gempita lah penduduk kampung yang tidak diketahui namanya itu melihat korban mereka masih bernyawa. Ditanya apakah rahsia apakah cerita, dijawab unggun dan asap adalah rahsianya. Pada malamnya, seluruh penduduk kampung membuat unggun api yang besar dan banyak di sekeliling kampung. Oleh kerana unggun api yang besar, maka asapnya pun tebal sehinggakan nyamuk tidak dapat menembusi.

Berita ini tersebar di kampung berdekatan dan kampung yang lain juga turut serta buat perkara yang sama. Akibatnya, nyamuk lari jauh ke dalam hutan, semakin lama semakin jauh. Makanan pun semakin berkurang, tubuh pun semakin mengecil sehinggalah ke saiz seperti hari ini.

Hikayat ini tidak pernah ditulis dalam mana mana buku. Cuma diceritakan dari mulut ke mulut dari orang tua tua. Bila Tanah Melayu dijajah Jepun, cerita ini terbongkar, dan orang Jepun yang bijak mengeluarkan satu produk yang boleh mengeluarkan asap yang diberi nama Ubat Nyamuk Fumakilla Cap Gajah. Kalau difikir logik, mana ada gajah di Jepun? Kenapa produk keluaran Jepun tetapi menggunakan logo gajah, yang habitat asalnya di semenanjung Tanah Melayu?

Dasar Jepang Maling!

Wednesday, January 16, 2013

Isu Berkaitan LISTEN...

LISTEN. Satu perkataan bahasa Inggeris yang bermaksud 'dengar'. Perkataan seerti dengan LISTEN ialah HEAR. Tetapi menurut Cikgu Bahasa Inggeris semasa Tingakatan 3 dulu, sebenarnya terdapat perbezaan di antara kedua-dua perkataan tersebut. Katanya, apabila anda LISTEN, sudah tentu anda HEAR tetapi jika anda HEAR tidak semestinya anda LISTEN. Umpama jika bahan itu adalah aloi, sudah semestinya ia juga adalah logam tetapi jika bahan itu logam, belum semestinya bahan itu aloi. Menurut sumber dari internet, HEAR adalah keupayaan untuk mendengar bunyi manakala LISTEN merupakan satu perbuatan mentaksir bunyi yang didengari.

Contoh: anda melayari facebook disamping televisyen yang terpasang. Ketika khusyuk melayari facebook, telinga anda mendengar segala bunyi yang dikeluarkan oleh televisyen tersebut tetapi anda tidak tahu apa bunyi tersebut. Jika bunyi itu lagu, anda tidak tahu lagu apa yang dimainkan. Jika bunyi itu perbualan, anda tidak tahu apa yang dibualkan. Ini yang dikatakan anda HEAR tetapi tidak LISTEN kepada televisyen tersebut. Sama seperti dalam kuliah Material Technology, 10 minit pertama anda LISTEN, selepas 10 minit tersebut anda HEAR. Mengelamun entah ke mana. Begitu juga ketika khutbah Jumaat.

Ada beberapa indikator yang menunjukkan sama ada teman anda sedang LISTEN kepada apa yang anda katakan, atau dia sekadar HEAR. Lihat pada mata dia. Jika matanya tajam merenung anda, dengan dahi yang berkerut dan bibir yang dimuncungkan, maka dia sedang LISTEN kepada apa yang ada sampaikan. Jika bulat lain macam, dia sedang HEAR. Pada masa ini, melempang adalah disyorkan. Maka, jika seseorang hendak sampaikan sesuatu, cuba LISTEN dan jangan sekadar HEAR.

I'm Sorry, what was the question again?

Tuesday, January 15, 2013

Apa, Kau Ingat Kau Seorang Je Yang Ada Masalah?

Semua orang pernah ada masalah. Tidak pernah seorang pun manusia ini yang tidak pernah hadapi masalah. Sama ada masalah kecil atau besar. Masalah melanda tanpa mengira peringkat usia dan darjat keturunan. Orang miskin ada masalah, orang kaya pun ada masalah. Orang sakit ada masalah, orang yang sihat pun ada masalah. Pelajar ada masalah, pensyarah bagi masalah. Rakyat ada masalah, pemimpin pun ada masalah.

Penyanyi Lenka berkata, trouble is a friend. Ini kerana masalah sering melawat kita tanpa duga. Puan Sharifah Zohra Jabeen berkata, binatang pun ada masalah. Ikan ada masalah, kucing ada masalah, anjing ada masalah, burung pun ada masalah. Ark... Ark... Ark... Ultraman? Ultraman pun ada masalah.

Pendek kata, hampir semua makhluk menghadapi masalah. Yang membezakan antara kita ialah macam mana kita berhadapan dengan masalah kita. Ada yang bila ada masalah, dia pergi makan. Ada yang pergi bercuti. Ada yang berkaraoke. Ada yang membeli belah. Ada yang solat. Ada yang menjerit sekuat hati di puncak bukit. Ada yang luahkan kepada orang yang dipercayai dan ada yang luahkan di Facebook.

Bagaimanapun caranya, pastikan ia berkesan. Tidak menambah masalah yang lain dan paling penting selesaikan lah secara berakal, bukan secara dangkal.

Thursday, January 10, 2013

Untunglah Rakyat Malaysia...

Untunglah rakyat Malaysia. Negara aman, tiada gempa bumi, tiada gunung berapi, tiada ribut taufan. Jika ada pun, banjir dan angin monsun sahaja. Cuaca pun molek, tidak terlalu sejuk, tidak terlalu panas. Pendek kata, jauh dari bencana alam dan cuaca mendamaikan. Untunglah...

Untunglah rakyat Malaysia. Dulu isi buminya kaya dengan bijih timah, kini isi lautnya kaya dengan petroleum. Tanahnya subur, kaya dengan tanaman. Dulu gah dengan getah, kini dengan kelapa sawit. Pendek kata, di laut dan di darat kaya dengan hasil bumi. Untunglah...

Untunglah rakyat Malaysia. Tak perlu ke Hawaii untuk berjemur di pantai yang cantik. Tak perlu ke Himalaya untuk menikmati dinginnya cuaca gunung. Cukuplah ada pulau yang indah dan gunung yang tinggi di kepulauan Borneo sana. Pendek kata, negara cantik pemandangan menarik. Untunglah...

Untunglah rakyat Malaysia, rakyatnya berbilang kaum. Tak perlu ke India untuk menghayati budaya masyarakat India. Tak perlu ke China untuk melihat budaya Cina, tak perlu ke Indonesia untuk memahami masyarakat Melayu. Pendek kata, Semua ada depan mata. Untunglah...

Untunglah rakyat Malaysia kerana orang-orangnya hebat belaka. Yang Melayu dengan sejarah Empayar Kesultanan Melayunya, yang India dengan gahnya Maharajanya, yang Cina dengan kehebatan Dinastinya, nun di Borneo sana dengan keagungan Kesultanan Sulunya. Pendek kata, rakyat Malaysia bangsa hebat, berbudaya, pedagang dan penakluk. Untunglah...

Untunglah rakyat Malaysia. Banyak bantuan rakyat 1 Malaysia. Untunglah...

Leaders come and go. But the rakyat stay. Tanah tumpahnya darahku....