Wednesday, June 12, 2013

Siri Pengembaraan : Sabah, Abang Datang... (Part 1)

Part 1: Lapar, Penat dan Sejuk

Kira-kira setahun yang lalu pada tarikh ini (12/6/2013), satu-satunya isteri ku yang sah telah menempah tiket penerbangan tambang murah terbaik dunia ke Kota Kinabalu (KK). Perancangan rapi ini dibuat bersama beberapa rakan sejawat tanpa dapat dihidu oleh pihak suami. Setelah tempahan dibuat, baru disampaikan kepada sang suami. Walaupun mengejutkan, tetapi para suami tetap cool. Sememangnya lelaki sifatnya begitu.

Secara detilnya, pengembaraan ini melibatkan 4 buah keluarga. Kecuali pasangan En Sharuddin dan Pn Hakimah, keluarga yang lainnya sudah mempunyai anak. Pn Hakimah sedang mengandung pada ketika ini. Pn Muliaty pula terpaksa menarik diri saat akhir atas sebab keselamatan kandungan. Pn Muliaty sedang sarat mengandung anak keempat ketika ini. Semasa tempahan tiket dibuat, beliau belum mengandung. Moralnya, jangan tempah tiket penerbangan tanpa pengetahuan suami. Akibatnya En Fahmi terpaksa berseorangan bersama 3 orang anaknya menghadapi pengembaraan ini. Massive respect! Pasangan lain ialah Pn Musalmah dan En Fahruz bersama 2 orang anak daranya.

Penerbangan dari KLIA pada jam 12 tengah hari dan tiba di KK jam 2.30 petang. Cuaca di KK ketika itu mendung. Orang putih sebut "cloudy". Memang sesuailah dengam gelaran Sabah Negeri di Bawah Bayu. Sedang elok pesawat mendarat, hujan yang agak lebat mencurah. Dengan menyewa 2 buah kereta viva elite dan 2 buah kereta Proton Saga (sewa daripada En Jaya staf Politeknik KK), kami terus ke tempat penginapan, Kinabalu Pine Resort, Kundasang. Perjalanan dalam cuaca hujan mengambil masa 3 jam. Penat, lapar dan sejuk.

Oleh kerana tiba dalam hari yang hampir malam, tidak banyak gambar dapat ditangkap. Destinasi esoknya ialah "mandi bersama ikan kelah" dan melawat ladang ternakan lembu ala new zealand.

No comments: