Thursday, January 10, 2013

Untunglah Rakyat Malaysia...

Untunglah rakyat Malaysia. Negara aman, tiada gempa bumi, tiada gunung berapi, tiada ribut taufan. Jika ada pun, banjir dan angin monsun sahaja. Cuaca pun molek, tidak terlalu sejuk, tidak terlalu panas. Pendek kata, jauh dari bencana alam dan cuaca mendamaikan. Untunglah...

Untunglah rakyat Malaysia. Dulu isi buminya kaya dengan bijih timah, kini isi lautnya kaya dengan petroleum. Tanahnya subur, kaya dengan tanaman. Dulu gah dengan getah, kini dengan kelapa sawit. Pendek kata, di laut dan di darat kaya dengan hasil bumi. Untunglah...

Untunglah rakyat Malaysia. Tak perlu ke Hawaii untuk berjemur di pantai yang cantik. Tak perlu ke Himalaya untuk menikmati dinginnya cuaca gunung. Cukuplah ada pulau yang indah dan gunung yang tinggi di kepulauan Borneo sana. Pendek kata, negara cantik pemandangan menarik. Untunglah...

Untunglah rakyat Malaysia, rakyatnya berbilang kaum. Tak perlu ke India untuk menghayati budaya masyarakat India. Tak perlu ke China untuk melihat budaya Cina, tak perlu ke Indonesia untuk memahami masyarakat Melayu. Pendek kata, Semua ada depan mata. Untunglah...

Untunglah rakyat Malaysia kerana orang-orangnya hebat belaka. Yang Melayu dengan sejarah Empayar Kesultanan Melayunya, yang India dengan gahnya Maharajanya, yang Cina dengan kehebatan Dinastinya, nun di Borneo sana dengan keagungan Kesultanan Sulunya. Pendek kata, rakyat Malaysia bangsa hebat, berbudaya, pedagang dan penakluk. Untunglah...

Untunglah rakyat Malaysia. Banyak bantuan rakyat 1 Malaysia. Untunglah...

Leaders come and go. But the rakyat stay. Tanah tumpahnya darahku....

No comments: