Saturday, August 4, 2012

Sayangi Jantung Anda...

Sedikit perkongsian ilmu daripada apa yang didengar dalam tazkirah ramadhan, iaitu berkaitan serangan jantung. Antara insan yang mempunyai risiko tinggi untuk terkena serangan jantung ialah mereka yang berumur linkungan 50-an dan juga mengalami berat badan berlebihan, kencing manis dan darah tinggi.

Serangan jantung berlaku apabila jantung kekurangan darah akibat daripada saluran arteri tersumbat. Saluran arteri ini tersumbat akibat gumpalan kolesterol yang menebal pada dinding arteri tersebut.

Antara simptom-simptom serangan jantung adalah seperti berikut:

Peringkat pertama: Rasa tidak stabil. Badan hilang kestabilan

Peringkat kedua: Sakit dilengan kiri. Pada ketika ini 75% saluran arteri telah tersumbat.

Peringkat ketiga: Rasa sakit dibahagian dada kiri atau lebih tepat jantung. Pada peringkat ini pesakit harus dibawa ke hospital dengan kadar segera iaitu kira-kira 15 minit.

Peringkat keempat: Rasa seperti tidak cukup oksigen. Pesakit akan mula tercungap - cungap seperti tidak cukup nafas. Hal ini terjadi kerana 100% saluran darah tersumbat. Otak akan merembeskan satu hormon yang dinamakan adrenalin kepada jantung, menyebabkan jantung berdegup dengan kadar yang lebih pantas sedangkan darah tidak dapat mengalir masuk ke dalam jantung. Pada ketika ini juga otot-otot jantung mula mati dan pecah akibat kurang darah.

Menurut penceramah, di Malaysia 50% kes serangan jantung mengakibatkan kematian kerana lambat sampai ke hospital.

Antara saranan yang diberikan untuk mengelakkan atau mengurangkan risiko serangan jantung adalah seperti berikut:

1. Jaga pemakanan. Kurangkan ambilan gula, garam dan lemak haiwan. Pengambilan lemak haiwan yang berlebihan akan meningkatkan kandungan Low Density Lipoprotein (LDL) atau juga dikenali sebagai kolesterol jahat. Mengamalkan puasa adalah sangat digalakkan.

2. Hentikan tabiat merokok. Merokok boleh mengakibatkan dinding arteri luka. Ini disebabkan rokok mengandungi kira-kira 4000 toksin yang tidak diperlukan oleh tubuh badan dan ia akan mendap pada saluran darah. Toksin-toksin ini memasuki darah melalui asap rokok yang dihidu. Luka-luka pada dinding arteri ini akan ditutupi oleh platlet darah, menyebabkan saluran arteri semakin mengecil. Majlis fatwa kebangsaan telah mengharamkan merokok. Satu keputusan yang tepat memandangkan tiada apa keberuntungan yang dapat daripada aktiviti merokok ini. Ianya hanya boleh meningkatkan risiko serangan jantung sebanyak 100%.

3. Bersenam. Aktiviti bersenam boleh melatih jantung kita untuk berdegup dengan lebih stabil dan juga mengurangkan berat badan. Selain itu ia juga boleh meningkatkan kandungan High Density Lipoprotein (HDL) atau juga dikenali sebagai kolesterol baik.

4. Jaga emosi. Jangan terlalu atau kerap sangat berasa stress. Ini kerana apabila kita stress, jantung akan berdegup dengan lebih kencang daripada normal. Apabila jantung berdegup lebih kencang, saluran arteri akan mengecil dan jika ada kolesterol, ini akan mengakibatkan saluran arteri menjadi sempit. Kita digalakkan kerap melakukan aktiviti kerohanian seperti beribadah atau apa apa yang menenangkan perasaan. Bukan keluar dating dengan cik Rohani.

Keempat empat saranan di atas merupakan gaya hidup sihat yang digalakkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Aku bukan ahli perubatan, jadi mungkin ada fakta yang kurang tepat. Maafkan aku....

Thursday, August 2, 2012

Makan Sampai Gout....

Bertemakan "Makan Sampai Gout", sekumpulan pensyarah daripada sebuah institusi pengajian yang beraliran teknikal daripada daerah Batang Padang, Perak telah menganjurkan majlis berbuka puasa yang disertai oleh puak mereka sendiri.

Majlis yang julung kalinya diadakan ini telah dijalankan di Kalumpang Grill & Steamboat dihadiri oleh lebih kurang 13 orang tidak termasuk kanak kanak.

Dan sempena tema majlis ini juga, Encik Nairul telah memilih t-shirt berwarna pink "sirap bandung" sebagai pakaian rasmi. "Baru kena dengan tema" katanya.

Majlis berbahagia ini juga turut diserikan dengan jemputan kehormat iaitu Encik Mohd Helmi Abdul Halim, Encik Mohd Rosli dan En Jibam (tiada dalam gambar).

Acara makan makan ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia bilal masjid Kalumpang dengan laungan azan Maghrib. Tanpa perlu sebarang arahan, kesemua peserta yang hadir memainkan peranan masing masing dengan rasa tanggungjawab. Berikut adalah gambar gambar disepanjang majlis...

Walaupun majlis ini meriah, tanggungjawab sebagai seorang muslim tidak dilupakan....

Ehh... mana gambar bini aku?

Sunday, July 22, 2012

Roti Mokhtar Slim River...


Sekali tengok, macam bangunan tinggal. Dua kali tengok, boleh naik seram. Tapi siapa sangka, di dalamnya terdapat satu perusahaan roti turun temurun.



Kilang roti mokhtar. Bangunan kilang ini telah berdiri utuh lebih dari 100 tahun. Kebanyakkan struktur asal masih lagi kekal hingga sekarang. Walaupun diperbuat hampir keseluruhannya daripad kayu, namun ia tampak lebih kukuh berbanding stadium di terengganu itu. Oopppsss!!!!



Tidak ramai yang tahu akan kewujudan kilang ini lantaran kedudukannya yang agak tersorok walaupun berhampiran jalan utama. Hanya penduduk asal slim river sahaja barangkali yang tahu akan kewujudan kilang ini. Kilang ini terletak di sebelah kiri pasar awam slim river. Ada satu lorong kecil sebelah pasar itu, ikut lorong itu dan anda akan temuinya.


Aku tahu kewujudan kilang ini setelah en Mohd Azhari berkempen mengenai keenakkan roti hasil kilang Mokhtar. Untuk pengetahuan, en Mohd Azhari memang pakar berkempen.  Segala bahan kempennya pasti mendapat sambutan hangat. Seorang lagi pakar kempen ialah en Mazlan zubair.


Wokeh! Kembali kepada kisah roti.







Kilang ini dibeli oleh abang kepada bapa en mokhtar yang asal dari India. Menurut en Mokhtar, kilang tersebut dibeli pada tahun 1949 yang mana kemudiannya diperturunkan kepada bapa en Mokhtar selepas kematian abangnya bapa en Mokhtar dan seterusnya kepada en Mokhtar sendiri. Sehingga ke hari ini, sudah 27 tahun en Mokhtar mengusahakan perniagaan keluarganya.


Antara roti yang dihasilkan di kilang ini ialah roti kosong dan roti berkrim. Dikatakan ada dikalangan pelangganya yang meracau setelah merasai roti krim en Mokhtar dek kerana kesedapannya yang melampau. Kalau dikomersialkan secara besar besaran, mau jadi jutawan en Mokhtar. Rotinya lembut dan lemak berkrim. Jika anda melalui kawasan Slim River, jangan lupa merasai roti Mokhtar!

Monday, July 9, 2012

Kekadang yang remeh itu penting...

3 hari aku sekeluarga bercuti di kuching, sarawak. Ini merupakan kali pertama aku ke kepulauan borneo. Gembiranya bukan kepalang. Perjalanan hampir 2 jam di atas awan langsung tak terasa, walaupun terpaksa duduk di dalam kabin yang lebih sempit daripada bas sekolah. Sepertimana rakyat malaysia yang lain, kami tidak kisah berhimpit, asalkan murah.

Sarawak memiliki banyak tempat menarik. Kalau tuan tanya encik google, dengan pantas ia dapat memberi jawapan. Taman negara, sungai, gua, gunung danbanyak lagi tarikan semulajadi yang ada di sarawak. Selain alam, sarawak juga terkenal dengan rakyatnya yang bersuku kaum. Memang menarik!  

Cuma apa yg terkilan di sini, sebagai pelancong yang pertama kali ke sini, percutian kami menjadi agak sukar kerana di kuching ini tidak banyak papan tanda penunjuk arah ke tempat- tempat pelancongannya. Contohnya kampung kebudayaan sarawak di santubong. Tidak ada satu pun papan tanda dari bandar kuching menunjuk arah ke perkampungan tersebut. Diulangi, tidak ada satu pun!   Mujur ad
a teknologi canggih yang dinamakan sebagai GPS. Dapat juga kami sampai ke destinasi walaupun dalam kepayahan. Mungkin ini satu perkara yang mungkin dipandang remeh oleh Dewan Bandaraya Kuching tetapi penting bagi pelancong.  

Dan mujur juga, orang-orang sarawak sangat peramah dan suka menolong.


Monday, April 16, 2012

Belajar dari Perang Khaibar....

Setelah melalui peristiwa Hijrah, kaum Muslimin menghadapi dua ancaman, satu daripada puak Quraisy Mekah dan satu lagi dari puak Yahudi. Baginda Rasulllah S.A.W pada masa itu lebih menumpukan kepada puak Quraisy Mekah kerana penentangan daripada puak tersebut lebih bahaya dan kuat. Setelah Perjanjian Hudaibiyah terlaksana, barulah Baginda Rasulullah mengalihkan perhatian kepada puak Yahudi. Walaupun Perjanjian Hudaibiyah merupakan satu perjanjian 'atas kertas', namun Baginda lebih mempercayai puak Quraisy kerana puak Quraisy berpegang teguh kepada janji, manakala puak Yahudi sering melanggar janji.

Dipendekkan cerita, apabila tiga puak Yahudi yang mendiami Madinah (Bani Qainuqa, Bani Nadhir dan Bani Quraizah) diusir keluar akibat pengkhianatan yang dilakukan terhadap Rasulullah, mereka mengumpul kekuatan di satu tempat bernama Khaibar. Diriwayatkan bahawa kedudukan bandar ini terletak kira-kira 100 km dari Madinah. Berita ini dapat dihidu oleh Rasulullah dan lantas Baginda mengumpul kekuatan untuk menyerang Yahudi Khaibar.

Pada ketika itu, Muslimin berada dalam keadaan kekurangan. Kebanyakkan daripada mereka tidak punya harta dan sentiasa dalam keadaan lapar. Bilangan mereka jauh lebih sedikit daripada bilangan musuh yang bakal ditentang. Namun, sebelum keluar berperang, Rasulullah bersabda agar yang benar-benar ingin berjihad sahaja yang perlu ikut. Ini untuk memastikan yang keluar berperang adalah dikalangan mereka yang komited sahaja agar segala strategi yang dirancang dapat berjalan dengan lancar walaupun dalam serba kekurangan.

Ada tiga perkara yang menarik berlaku ketika perang Khaibar ini, yang mana sebelum perang ini tercetus dihalalkan tetapi ketika perang ini diharamkan. Pertama, larangan memakan daging keldai peliharaan. Ketika kaum Muslimin keluar dari Madinah menuju Khaibar, mereka dalam keadaan lapar. Apabila berhenti berehat, mereka menyembelih keldai tunggangan mereka dan terus memasak untuk dimakan. Apabila hidangan sudah hampir siap, datang perintah dari Rasulullah yang melarang mereka memakan daging keldai peliharaan. Oleh kerana tahap keimanan yang tinggi, tanpa sebarang pertanyaan mereka menterbalikkan periuk dan membuang hidangan yang hampir siap masak itu.

Kedua, larangan Kahwin Mut'ah. Sebelum perang khaibar, perkahwinan ini dibolehkan. Perang Khaibar menuntut masa selama kira-kira 2 bulan untuk disudahkan. Bermaksud para mujahidin ini terpisah selama 2 bulan dengan isteri. Sudah tentu kehendak biologi amat memuncak. Dengan perkahwinan Mut'ah, kehendak ini dapat disalurkan dengan cara yang halal. Namun ia telah dilarang oleh Rasul ketika perang ini menyebabkan para sahabat terpaksa menangguh kehendak mereka.

Ketiga, ghanimah atau harta rampasan perang. Rasul melarang para parajuritnya mengambil sebarang harta rampasan perang selagi ia belum dikumpulkan dan diagihkan oleh baginda Rasulullah. Khaibar merupakan daerah yang sangat subur dan kaya. Beberapa sahabat Rasulullah pernah berkata, "aku tidak pernah berasa kenyang sehinggalah Khaibar ditawan". Keadaan Muslimin ketika ini sangat miskin, dengan terbentangnya harta yang sangat banyak, sudah tentu ia dapat mengubah nasib mereka. Namun, dengan perintah Rasulullah, mereka terpaksa bersabar lagi.

Larangan-larangan tersebut jika dilihat, Rasulullah sebenarnya mengajar umatnya untuk mengawal tiga jenis nafsu, iaitu nafsu perut, syahwat dan harta. Dan Allah telah menunjukkan, apabila kita dapat mengawal ketiga-tiga nafsu tersebut, kejayaan akan pasti menyusul dengan izinNya. Ini terbukti apabila Khaibar dapat ditawan dan umat Islam mengecapi kekayaan yang mereka tidak pernah sangkakan. Banyak makan, akan menumpulkan fikiran dan menjadikan kita malas, disamping mudah mendapat penyakit. Tidak dapat mengawal syahwat akan merosakkan keturunan dan tamak harta menjadikan kita cinta dunia. Masalah sosial sekarang banyak berpunca daripada ketiga-tiga nafsu tersebut. Kisah ini juga mengajar kita bahawa kualiti adalah lebih penting daripada kuantiti. Ini dapat kita lihat berdasarkan kepada tindakan Rasulullah hanya memilih pahlawannya yang benar-benar ingin berjihad sahaja untuk pergi berperang, walaupun pada ketika itu bilangan yang sedia ada tidak mencukupi. Namun begitu, dengan komitmen yang ditunjukkan, mudah bagi Baginda Rasulullah merancang strategi peperangan. Diriwayatkan seramai 19 orang pejuang meninggal dunia.

Semoga kita dapat pengajaran dari kisah ini.

Diambil daripada buku Belajar dari Perang Khaibar tulisan Hepi Andi Boestaman.

Wednesday, April 4, 2012

mencegah lebih baik daripada mengubati...

Ada orang pernah berkata kepada aku, "islam mengamalkan konsep mencegah lebih baik daripada mengubati". Ini dapat dijelaskan daripada maksud firman Allah, "dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk...."

Perkara yang besar, bermula daripada suatu yang kecil. Mahligai yang besar, bermula daripada seketul bata. Sungai yang besar, bermula daripada sealiran mata air. Begitulah resam alam.

Dahulu, pencuri hanya berani memasuki rumah jika tiada penghuni dirumah. Kemudian, menjadi sedikit berani ~ menyelinap ke dalam rumah secara senyap. Jika tuan rumah tersedar, lari lintang pukang. Tidak berani bersemuka dengan tuan rumah. Tapi itu dulu....

Trend terkini, perompak makin berani. Pecah masuk ke dalam rumah, kejutkan tuan rumah dan bertanya soalan cepu emas ~ "di mana barang berharga kamu?". Tak payah susah susah untuk geledah bilik. Akan datang, tidak tahulah apa yang bakal terjadi.

Kenapa semua ini terjadi?

Bagaimana hendak atasi?

Tukar undang undang kepada yang lebih efisien ~ hudud!
Jika pemerintah tidak mampu tukar undang undang, rakyat mampu tukar kerajaan. Lagipun, negara ini kan demokrasi...

kisah khalifah harun ar rasyid dan imam malik

Zaman kini zaman duit. Siapa ada duit, dia ada kuasa. Ada duit semua boleh dibeli. Ada duit semua boleh dimiliki. Apa yang dahulunya hanya boleh didapati di luar rumah, kini boleh dibawa ke rumah.

Jika dulu kalau mahu tonton wayang gambar, kamu perlu ke panggung wayang. Baru boleh nikmati kualiti gambar yang jelas dengan sistem bunyi yang dasyat. Tapi kini jika banyak wang, kamu boleh membeli tv led 67 inci dengan set home theater yang canggih dan nikmati wayang gambar sehebat panggung. Jika dahulu kamu perlu ke kafe siber untuk menikmati internet, kini kamu boleh langgan internet. Jika dahulu kalau mahu menuntut ilmu, kamu perlu mendatangi guru, kini kamu boleh upah guru ke rumah, jika mampu. Duit ubah segalanya... namun tidak semua....

Khalifah harun ar rasyid.....

Khalifah harun ar rasyid merupakan salah seorang khalifah terhebat yang pernah dimiliki Islam. Di bawah pimpinannya, Islam subur tersebar melata dipelusuk dunia. Di zamannya juga hidupnya Imam Malik. Dan harun ar rasyid merupakan anak muridnya. Beliau berguru dengan imam malik bukan ketika kanak kanak, tetapi setelah bergelar khalifah.

Diceritakan khalifah harun datang menemui Imam Malik di masjid nabawi. Melalui pertemuannya itu khalifah harun meluahkan hasrat hati untuk berguru dengan Imam Malik dengan menjemputnya ke istana khalifah. Dengan tegas Imam Malik berkata, " ilmu itu tidak mendatangi, tetapi didatangi...". Akur dengan kehendak Imam Malik, khalifah harun datang ke masjid untuk berguru.

Moralnya di sini, adat belajar ialah ilmu perlu dicari, bukan tunggu untuk didatangi. Ilmu perlu dicari bukan kerana disuruh, tetapi atas kesedaran diri. Walau siapa pun kita, tinggi mana pun pangkat, banyak mana pun harta, guru perlu dihormati....