Thursday, August 23, 2012

Buku Sifir Empat Angka.

Aku merupakan generasi Buku Sifir Empat Angka. Jika anda tidak pernah mendengar, melihat atau menggunakan buku sifir ini, kemungkinan anda bukan pelajar aliran sains. Atau mungkin juga anda tidak dilahirkan sezaman dengan aku. Ini kerana buku ini digunakan dalam matapelajaran Matematik Tambahan. Additional Mathematic sebutannya dalam Bahasa Inggeris.

Gambar diambil dari www.hazwanhussin.blogspot.com

Gambar di atas adalah rupa paras buku sifir tersebut. Tak pasti sama ada masih ada lagi buku tersebut dipasaran ataupun tidak. Kegunaan buku ini ialah untuk mendapatkan nilai nilai yang melibatkan trigonometri seperti cos, sin dan tan. Fungsi lain aku tak pasti sebab tak ingat. Cara menggunakannya pun aku sudah tidak ingat. Ampunkan aku cikgu! Maklumlah, kali terakhir aku menggunakan buku ini ialah pada tahun 1998.

Ia dinamakan sebagai Buku Sifir Empat Angka kerana ia boleh memberikan jawapan sehingga empat titik perpuluhan. Pada zaman tersebut, kalkulator saintifik tidak dibenarkan digunakan pada peringkat sekolah menengah. Hanya kalkulator asas sahaja yang dibenarkan, iaitu kalkulator yang ada fungsi tambah, tolak, darab, bahagi, peratusan dan punca kuasa dua. Itu pun untuk tingkatan empat dan ke atas.

Jika anda seorang pelajar jurusan kejuruteraan mekanikal, pasti anda pernah belajar subjek termodinamik. Sebagaimana pentingnya Buku Jadual Stim pada termodinamik, begitulah sama pentingnya buku sifir ini kepada pelajar aliran Sains. Tanpanya anda tidak dapat merungkai persoalan Matematik Tambahan. Tanpa kemahiran membaca buku sifir ini, anda tidak dapat menguasai ilmu Matematik Tambahan.

Jika direnung kembali, betapa indahnya belajar dalam keadaan kesusahan. Zaman tiada hadirnya internet. Zaman tiada encik google dan wikipedia. Mudahnya belajar zaman ini. Segala macam maklumat dihujung jari. Hargailah kemudahan yang ada.

Sila komen jika anda juga merupakan generasi Buku Sifir Empat Angka.

3 comments:

Unknown said...

Sama..zaman yang sama.. dulu mana leh pakai calculator. .

Unknown said...

Saya nak beli buku ni.
Wasap saya
0197447584

g-unit said...

Buku legend ni.... Sekrg semua picit2 di calculator... Kita dulu exam Math tambahan, pakai kalkulator pun jenis yang basic.