Thursday, August 23, 2012

Buku Sifir Empat Angka.

Aku merupakan generasi Buku Sifir Empat Angka. Jika anda tidak pernah mendengar, melihat atau menggunakan buku sifir ini, kemungkinan anda bukan pelajar aliran sains. Atau mungkin juga anda tidak dilahirkan sezaman dengan aku. Ini kerana buku ini digunakan dalam matapelajaran Matematik Tambahan. Additional Mathematic sebutannya dalam Bahasa Inggeris.

Gambar diambil dari www.hazwanhussin.blogspot.com

Gambar di atas adalah rupa paras buku sifir tersebut. Tak pasti sama ada masih ada lagi buku tersebut dipasaran ataupun tidak. Kegunaan buku ini ialah untuk mendapatkan nilai nilai yang melibatkan trigonometri seperti cos, sin dan tan. Fungsi lain aku tak pasti sebab tak ingat. Cara menggunakannya pun aku sudah tidak ingat. Ampunkan aku cikgu! Maklumlah, kali terakhir aku menggunakan buku ini ialah pada tahun 1998.

Ia dinamakan sebagai Buku Sifir Empat Angka kerana ia boleh memberikan jawapan sehingga empat titik perpuluhan. Pada zaman tersebut, kalkulator saintifik tidak dibenarkan digunakan pada peringkat sekolah menengah. Hanya kalkulator asas sahaja yang dibenarkan, iaitu kalkulator yang ada fungsi tambah, tolak, darab, bahagi, peratusan dan punca kuasa dua. Itu pun untuk tingkatan empat dan ke atas.

Jika anda seorang pelajar jurusan kejuruteraan mekanikal, pasti anda pernah belajar subjek termodinamik. Sebagaimana pentingnya Buku Jadual Stim pada termodinamik, begitulah sama pentingnya buku sifir ini kepada pelajar aliran Sains. Tanpanya anda tidak dapat merungkai persoalan Matematik Tambahan. Tanpa kemahiran membaca buku sifir ini, anda tidak dapat menguasai ilmu Matematik Tambahan.

Jika direnung kembali, betapa indahnya belajar dalam keadaan kesusahan. Zaman tiada hadirnya internet. Zaman tiada encik google dan wikipedia. Mudahnya belajar zaman ini. Segala macam maklumat dihujung jari. Hargailah kemudahan yang ada.

Sila komen jika anda juga merupakan generasi Buku Sifir Empat Angka.

Wednesday, August 22, 2012

Itik, Serati Dan Ayam Israel...

Benarlah kata kata orang orang tua, jauh berjalan, luas pengetahuan...

Itik dan serati

"Hari ini kita pergi makan serati di rumah Kak Ton", kata isteri aku. "Oh, makan itik la ye?"balas aku. "Bukan itik, tapi serati",jawab isteri aku balik. Apa beza itik dengan serati? Sama saja pada aku.

Selama ini, yang aku tahu hanya itik dengan angsa. Itik tengkok pendek, angsa tengkok panjang. Itik baik, angsa jahat (sebab suka kejar orang). Lagipun aku jarang atau mungkin tak pernah makan itik. Sebab itu tak pernah ambil pusing fasal spesis itik itik di dunia.

Rupa rupanya serati ini sejenis itik. Nama lainnya ialah itik nila. Orang Jawa panggil entok. Dari segi genetik, ia lebih menyerupai angsa berbanding itik. Ciri-ciri ketara pada itik serati termasuk mukanya yang licin dan bonggol merah yang mengelilingi mata dan paruh[1]. Kalau anda ke kampung, dan terjumpa dengan itik yang sedang menyudu lumpur, itulah itik serati. Itik serati suka diam ditempat yang kotor.

Ayam Israel

Di Kelantan (setakat yang aku tahu), ada sejenis spesis ayam yang dipanggil ayam israel. Ini tidak pula bermaksud ada warga Kelantan yang pernah ke Israel dan berjaya menyeludup keluar baka ayam dari negara haram Israel. Ayam ini digelar ayam israel kerana ia menjadi makanan khas untuk santapan raja raja Israel perangainya yang seakan Israel, iaitu ia suka mengejar dan mematuk ayam ayam yang lain spesis atau yang lebih kecil. Bak kata orang Kelantan, jahak supo israel. Dari situ ia mendapat nama. Jika menyokong Israel hukumnya haram, namun memakan ayam Israel hukumnya harus. Haha! Anda tidak akan mewarisi perangai ganas ayam ini selepas memakannya. Anda hanya mewarisi kekenyangan selepas memakannya.

Rujukan: [1] itik serati. http://ms.m.wikipedia.org/wiki/Itik_Serati

Saturday, August 18, 2012

Kanak Kanak Dan Bahasa Inggeris...

Makin ramai kanak kanak yang celik Bahasa Inggeris. Mungkin mereka ini telah didedahkan dengan bahasa tersebut oleh orang orang dewasa disekeliling secara langsung dan tak langsung. Mungkin juga program program televisyen yang ke arah pendidikan Bahasa Inggeris juga memberi kesan. Maklumlah, setiap rumah di Malaysia sekarang ini mesti ada sebuah peti televisyen. Kalau zaman dahulu kala, jika kanak kanak yang berumur bawah 10 tahun sudah pandai menyebut perkataan dalam Bahasa Inggeris, kanak kanak itu mungkin anak orang berada. Tapi tidak lagi sekarang.

Kanak kanak sekarang, jika ditunjukkan bunga, mereka akan menyebut flower. Jika ditunjukkan ikan, mereka akan menyebut fish. Jika ditunjukkan kereta, mereka akan menyebut car. Jika ditunjukkan kasut, mereka akan menyebut shoes. Jika ditunjukkan kucing, mereka akan menyebut cat. Jika ditunjukkan epal, mereka akan menyebut apple. Itu dari segi benda. Dari segi arahan pun mereka ini sudah boleh faham. Disuruh sit, mereka duduk. Disuruh come here, mereka datang. Disuruh eat, mereka makan. Dikata don't, mereka akur.

Itu anak orang. Anak aku? Hmmmm.....

Ibrahim, let's go!

Nak ke mana Ayah?

Shopping complex!

Yeay! Nak beli apa?

Hasil didikan intensif Mama dia....

Tuesday, August 14, 2012

Samsung Galaxy Note 10.1 Baru...

Khabar angin bertiup kencang bahawa Samsung akan mengeluarkan gajet terbarunya iaitu Samsung Galaxy Note 10.1 (Sesetengah peminat Samsung menggelarnya Note 2) dalam masa terdekat. Menurut blog-blog dari Barat, Samsung akan melancarkan produk terhebatnya itu pada 15 ogos di US dan 16 Ogos di UK.

Dari segi harga, belum termaktub lagi. Menurut sumber, sekitar £400+ atau 600 - 700 US Dollar. Dalam Ringgit Malaysia sekitar RM 2500 ke atas. Dari spesifikasi, aku tak pasti. Tapi sudah tentunya lebih hebat daripada Samsung Galaxy Note yang pertama.

Kehebatan gajet ini boleh dilihat dalam video ini.

P/s: kalau nak beli ni, kena alter poket seluar masing masing supaya muat masuk poket!

Saturday, August 11, 2012

Blog It! Satu Perisian Wajib Ada Bagi Blogger Android....

Ramai orang sekarang ini mahu jadi blogger. Termasuk aku. Blogging ini mudah dan percuma. Cuma perlu ada smbungan internet dan komputer.


Jika dulu, untuk melayari internet, perlukan komputer, kini internet boleh dilayari melalui telefon pintar. Telefon pintar sekarang ini umpama kasut. Setiap orang ada kasut. Begitu juga dengan telefon pintar.


Jika anda seorang blogger dan pengguna telefon pintar android, anda harus memuat turun aplikasi blog it! ke dalam telefon pintar anda. Aplikasi ini mudah digunakan dan pantas. Ia juga percuma! Cuma anda perlu ada sedikit pengetahuan asas mengenai html code.

Sudah 4 artikel yang di'post' pada blog ini menggunakan blog it! Memang mudah. Apa yang menariknya ialah jika anda sedang menderaf satu artikel, dan simpan, anda boleh menyambung artikel tersebut pada telefon pintar yang lain atau komputer.

Jadi kepada blogger blogger diluar sana, saya sarankan anda untuk memuat turun perisian blog it! di pasar android supaya anda sentiasa boleh mengemaskini blog anda dimana jua.

Thursday, August 9, 2012

Proton City Bakal Jadi Stuttgart Malaysia?

Sebagai warga proton city, sudah tentunya aku teruja dengan berita ini...

DRB-Hicom Bhd (DRB-Hicom) akan membuat pelaburan baru lebih RM1 bilion bagi pembangunan Proton City, Tanjung Malim, dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ia termasuk membangunkan sebuah hab komersial baru dan pelbagai kemudahan lain. Sekurang-kurangnya dua lagi jenama kereta dijangka dikeluarkan di situ tidak lama lagi, sekali gus melengkapkan visi menjadikan Proton City sebagai bandar automotif menjelang 2015 atau selewat-lewatnya dalam lima tahun akan datang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pelaburan itu diputuskan selepas DRB-Hicom mendapati Proton City tidak mencapai kapasiti sepenuhnya. Laporan terkini perancangan ini (pelaburan baru) dibentangkan sendiri Pengarah Urusan DRB-Hicom, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil kepada EXCO hari ini (semalam) dan pihaknya sangat serius untuk membangunkan kawasan itu, katanya kepada pemberita di Ipoh.

Selain kilang kedua Proton bernilai RM1.8 bilion, ia turut menempatkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), lot perindustrian ringan vendor Proton, kediaman dan kemudahan prasarana serta keperluan lain.

Baca cerita selebihnya di sini

Tuesday, August 7, 2012

Falak...

Bukan mahu bercerita tentang bapanya Sazzy Falak. Tidak. Tetapi ilmu falak. Dalam bahasa moden ia dipanggil sebagai astronomi. Dalam bahasa Melayu dipanggil ilmu kaji bintang. Dalam Islam, ilmu ini sering dikaitkan dengan rukyah, iaitu salah satu cara penentuan hari bermulanya kalendar Islam, bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah.

Ilmu yang sedikit ini ingin dikongsi daripada apa yang sempat dihadam hasil daripada tazkirah ramadhan. Iaitu bagaimana untuk melihat anak bulan.

Dalam kitaran bulan, ada satu keadaan dimana kedudukan bumi, bulan dan matahari adalah selari. Ia dipanggil ijtimak. Ijtimak bukanlah gerhana. Rujuk gambarajah di bawah

Dalam gambarajah di atas, kedudukan 1 itu dinamakan ijtimak. Apabila bulan berganjak sedikit iaitu pada kedudukan 1a, ia dinamakan sebagai hilal, atau bulan baru (new moon). Disinilah episod dimana edward cullen berkahwin dengan bella. Dalam kedudukan 1 dan 1a inilah anak bulan akan kelihatan.

Masa yang sesuai untuk mencerap anak bulan ialah pada waktu matahari terbenam. Anak bulan akan kelihatan pada sela waktu di antara waktu terbenam matahari dengan waktu terbenamnya hilal. Namun begitu, usia hilal mestilah sekurang kurangnya 8 jam pada ketika anak bulan hendak dicerap. Wajah anak bulan seperti dibawah:

Untuk penjelasan yang lebih detil, sila rujuk kepada ahli kaji bintang yang bertauliah. Semoga penulisan ini dapat memberi bayangan bila anak bulan dicerap.

Saturday, August 4, 2012

Sayangi Jantung Anda...

Sedikit perkongsian ilmu daripada apa yang didengar dalam tazkirah ramadhan, iaitu berkaitan serangan jantung. Antara insan yang mempunyai risiko tinggi untuk terkena serangan jantung ialah mereka yang berumur linkungan 50-an dan juga mengalami berat badan berlebihan, kencing manis dan darah tinggi.

Serangan jantung berlaku apabila jantung kekurangan darah akibat daripada saluran arteri tersumbat. Saluran arteri ini tersumbat akibat gumpalan kolesterol yang menebal pada dinding arteri tersebut.

Antara simptom-simptom serangan jantung adalah seperti berikut:

Peringkat pertama: Rasa tidak stabil. Badan hilang kestabilan

Peringkat kedua: Sakit dilengan kiri. Pada ketika ini 75% saluran arteri telah tersumbat.

Peringkat ketiga: Rasa sakit dibahagian dada kiri atau lebih tepat jantung. Pada peringkat ini pesakit harus dibawa ke hospital dengan kadar segera iaitu kira-kira 15 minit.

Peringkat keempat: Rasa seperti tidak cukup oksigen. Pesakit akan mula tercungap - cungap seperti tidak cukup nafas. Hal ini terjadi kerana 100% saluran darah tersumbat. Otak akan merembeskan satu hormon yang dinamakan adrenalin kepada jantung, menyebabkan jantung berdegup dengan kadar yang lebih pantas sedangkan darah tidak dapat mengalir masuk ke dalam jantung. Pada ketika ini juga otot-otot jantung mula mati dan pecah akibat kurang darah.

Menurut penceramah, di Malaysia 50% kes serangan jantung mengakibatkan kematian kerana lambat sampai ke hospital.

Antara saranan yang diberikan untuk mengelakkan atau mengurangkan risiko serangan jantung adalah seperti berikut:

1. Jaga pemakanan. Kurangkan ambilan gula, garam dan lemak haiwan. Pengambilan lemak haiwan yang berlebihan akan meningkatkan kandungan Low Density Lipoprotein (LDL) atau juga dikenali sebagai kolesterol jahat. Mengamalkan puasa adalah sangat digalakkan.

2. Hentikan tabiat merokok. Merokok boleh mengakibatkan dinding arteri luka. Ini disebabkan rokok mengandungi kira-kira 4000 toksin yang tidak diperlukan oleh tubuh badan dan ia akan mendap pada saluran darah. Toksin-toksin ini memasuki darah melalui asap rokok yang dihidu. Luka-luka pada dinding arteri ini akan ditutupi oleh platlet darah, menyebabkan saluran arteri semakin mengecil. Majlis fatwa kebangsaan telah mengharamkan merokok. Satu keputusan yang tepat memandangkan tiada apa keberuntungan yang dapat daripada aktiviti merokok ini. Ianya hanya boleh meningkatkan risiko serangan jantung sebanyak 100%.

3. Bersenam. Aktiviti bersenam boleh melatih jantung kita untuk berdegup dengan lebih stabil dan juga mengurangkan berat badan. Selain itu ia juga boleh meningkatkan kandungan High Density Lipoprotein (HDL) atau juga dikenali sebagai kolesterol baik.

4. Jaga emosi. Jangan terlalu atau kerap sangat berasa stress. Ini kerana apabila kita stress, jantung akan berdegup dengan lebih kencang daripada normal. Apabila jantung berdegup lebih kencang, saluran arteri akan mengecil dan jika ada kolesterol, ini akan mengakibatkan saluran arteri menjadi sempit. Kita digalakkan kerap melakukan aktiviti kerohanian seperti beribadah atau apa apa yang menenangkan perasaan. Bukan keluar dating dengan cik Rohani.

Keempat empat saranan di atas merupakan gaya hidup sihat yang digalakkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Aku bukan ahli perubatan, jadi mungkin ada fakta yang kurang tepat. Maafkan aku....

Thursday, August 2, 2012

Makan Sampai Gout....

Bertemakan "Makan Sampai Gout", sekumpulan pensyarah daripada sebuah institusi pengajian yang beraliran teknikal daripada daerah Batang Padang, Perak telah menganjurkan majlis berbuka puasa yang disertai oleh puak mereka sendiri.

Majlis yang julung kalinya diadakan ini telah dijalankan di Kalumpang Grill & Steamboat dihadiri oleh lebih kurang 13 orang tidak termasuk kanak kanak.

Dan sempena tema majlis ini juga, Encik Nairul telah memilih t-shirt berwarna pink "sirap bandung" sebagai pakaian rasmi. "Baru kena dengan tema" katanya.

Majlis berbahagia ini juga turut diserikan dengan jemputan kehormat iaitu Encik Mohd Helmi Abdul Halim, Encik Mohd Rosli dan En Jibam (tiada dalam gambar).

Acara makan makan ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia bilal masjid Kalumpang dengan laungan azan Maghrib. Tanpa perlu sebarang arahan, kesemua peserta yang hadir memainkan peranan masing masing dengan rasa tanggungjawab. Berikut adalah gambar gambar disepanjang majlis...

Walaupun majlis ini meriah, tanggungjawab sebagai seorang muslim tidak dilupakan....

Ehh... mana gambar bini aku?