Monday, April 16, 2012

Belajar dari Perang Khaibar....

Setelah melalui peristiwa Hijrah, kaum Muslimin menghadapi dua ancaman, satu daripada puak Quraisy Mekah dan satu lagi dari puak Yahudi. Baginda Rasulllah S.A.W pada masa itu lebih menumpukan kepada puak Quraisy Mekah kerana penentangan daripada puak tersebut lebih bahaya dan kuat. Setelah Perjanjian Hudaibiyah terlaksana, barulah Baginda Rasulullah mengalihkan perhatian kepada puak Yahudi. Walaupun Perjanjian Hudaibiyah merupakan satu perjanjian 'atas kertas', namun Baginda lebih mempercayai puak Quraisy kerana puak Quraisy berpegang teguh kepada janji, manakala puak Yahudi sering melanggar janji.

Dipendekkan cerita, apabila tiga puak Yahudi yang mendiami Madinah (Bani Qainuqa, Bani Nadhir dan Bani Quraizah) diusir keluar akibat pengkhianatan yang dilakukan terhadap Rasulullah, mereka mengumpul kekuatan di satu tempat bernama Khaibar. Diriwayatkan bahawa kedudukan bandar ini terletak kira-kira 100 km dari Madinah. Berita ini dapat dihidu oleh Rasulullah dan lantas Baginda mengumpul kekuatan untuk menyerang Yahudi Khaibar.

Pada ketika itu, Muslimin berada dalam keadaan kekurangan. Kebanyakkan daripada mereka tidak punya harta dan sentiasa dalam keadaan lapar. Bilangan mereka jauh lebih sedikit daripada bilangan musuh yang bakal ditentang. Namun, sebelum keluar berperang, Rasulullah bersabda agar yang benar-benar ingin berjihad sahaja yang perlu ikut. Ini untuk memastikan yang keluar berperang adalah dikalangan mereka yang komited sahaja agar segala strategi yang dirancang dapat berjalan dengan lancar walaupun dalam serba kekurangan.

Ada tiga perkara yang menarik berlaku ketika perang Khaibar ini, yang mana sebelum perang ini tercetus dihalalkan tetapi ketika perang ini diharamkan. Pertama, larangan memakan daging keldai peliharaan. Ketika kaum Muslimin keluar dari Madinah menuju Khaibar, mereka dalam keadaan lapar. Apabila berhenti berehat, mereka menyembelih keldai tunggangan mereka dan terus memasak untuk dimakan. Apabila hidangan sudah hampir siap, datang perintah dari Rasulullah yang melarang mereka memakan daging keldai peliharaan. Oleh kerana tahap keimanan yang tinggi, tanpa sebarang pertanyaan mereka menterbalikkan periuk dan membuang hidangan yang hampir siap masak itu.

Kedua, larangan Kahwin Mut'ah. Sebelum perang khaibar, perkahwinan ini dibolehkan. Perang Khaibar menuntut masa selama kira-kira 2 bulan untuk disudahkan. Bermaksud para mujahidin ini terpisah selama 2 bulan dengan isteri. Sudah tentu kehendak biologi amat memuncak. Dengan perkahwinan Mut'ah, kehendak ini dapat disalurkan dengan cara yang halal. Namun ia telah dilarang oleh Rasul ketika perang ini menyebabkan para sahabat terpaksa menangguh kehendak mereka.

Ketiga, ghanimah atau harta rampasan perang. Rasul melarang para parajuritnya mengambil sebarang harta rampasan perang selagi ia belum dikumpulkan dan diagihkan oleh baginda Rasulullah. Khaibar merupakan daerah yang sangat subur dan kaya. Beberapa sahabat Rasulullah pernah berkata, "aku tidak pernah berasa kenyang sehinggalah Khaibar ditawan". Keadaan Muslimin ketika ini sangat miskin, dengan terbentangnya harta yang sangat banyak, sudah tentu ia dapat mengubah nasib mereka. Namun, dengan perintah Rasulullah, mereka terpaksa bersabar lagi.

Larangan-larangan tersebut jika dilihat, Rasulullah sebenarnya mengajar umatnya untuk mengawal tiga jenis nafsu, iaitu nafsu perut, syahwat dan harta. Dan Allah telah menunjukkan, apabila kita dapat mengawal ketiga-tiga nafsu tersebut, kejayaan akan pasti menyusul dengan izinNya. Ini terbukti apabila Khaibar dapat ditawan dan umat Islam mengecapi kekayaan yang mereka tidak pernah sangkakan. Banyak makan, akan menumpulkan fikiran dan menjadikan kita malas, disamping mudah mendapat penyakit. Tidak dapat mengawal syahwat akan merosakkan keturunan dan tamak harta menjadikan kita cinta dunia. Masalah sosial sekarang banyak berpunca daripada ketiga-tiga nafsu tersebut. Kisah ini juga mengajar kita bahawa kualiti adalah lebih penting daripada kuantiti. Ini dapat kita lihat berdasarkan kepada tindakan Rasulullah hanya memilih pahlawannya yang benar-benar ingin berjihad sahaja untuk pergi berperang, walaupun pada ketika itu bilangan yang sedia ada tidak mencukupi. Namun begitu, dengan komitmen yang ditunjukkan, mudah bagi Baginda Rasulullah merancang strategi peperangan. Diriwayatkan seramai 19 orang pejuang meninggal dunia.

Semoga kita dapat pengajaran dari kisah ini.

Diambil daripada buku Belajar dari Perang Khaibar tulisan Hepi Andi Boestaman.

Wednesday, April 4, 2012

mencegah lebih baik daripada mengubati...

Ada orang pernah berkata kepada aku, "islam mengamalkan konsep mencegah lebih baik daripada mengubati". Ini dapat dijelaskan daripada maksud firman Allah, "dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk...."

Perkara yang besar, bermula daripada suatu yang kecil. Mahligai yang besar, bermula daripada seketul bata. Sungai yang besar, bermula daripada sealiran mata air. Begitulah resam alam.

Dahulu, pencuri hanya berani memasuki rumah jika tiada penghuni dirumah. Kemudian, menjadi sedikit berani ~ menyelinap ke dalam rumah secara senyap. Jika tuan rumah tersedar, lari lintang pukang. Tidak berani bersemuka dengan tuan rumah. Tapi itu dulu....

Trend terkini, perompak makin berani. Pecah masuk ke dalam rumah, kejutkan tuan rumah dan bertanya soalan cepu emas ~ "di mana barang berharga kamu?". Tak payah susah susah untuk geledah bilik. Akan datang, tidak tahulah apa yang bakal terjadi.

Kenapa semua ini terjadi?

Bagaimana hendak atasi?

Tukar undang undang kepada yang lebih efisien ~ hudud!
Jika pemerintah tidak mampu tukar undang undang, rakyat mampu tukar kerajaan. Lagipun, negara ini kan demokrasi...

kisah khalifah harun ar rasyid dan imam malik

Zaman kini zaman duit. Siapa ada duit, dia ada kuasa. Ada duit semua boleh dibeli. Ada duit semua boleh dimiliki. Apa yang dahulunya hanya boleh didapati di luar rumah, kini boleh dibawa ke rumah.

Jika dulu kalau mahu tonton wayang gambar, kamu perlu ke panggung wayang. Baru boleh nikmati kualiti gambar yang jelas dengan sistem bunyi yang dasyat. Tapi kini jika banyak wang, kamu boleh membeli tv led 67 inci dengan set home theater yang canggih dan nikmati wayang gambar sehebat panggung. Jika dahulu kamu perlu ke kafe siber untuk menikmati internet, kini kamu boleh langgan internet. Jika dahulu kalau mahu menuntut ilmu, kamu perlu mendatangi guru, kini kamu boleh upah guru ke rumah, jika mampu. Duit ubah segalanya... namun tidak semua....

Khalifah harun ar rasyid.....

Khalifah harun ar rasyid merupakan salah seorang khalifah terhebat yang pernah dimiliki Islam. Di bawah pimpinannya, Islam subur tersebar melata dipelusuk dunia. Di zamannya juga hidupnya Imam Malik. Dan harun ar rasyid merupakan anak muridnya. Beliau berguru dengan imam malik bukan ketika kanak kanak, tetapi setelah bergelar khalifah.

Diceritakan khalifah harun datang menemui Imam Malik di masjid nabawi. Melalui pertemuannya itu khalifah harun meluahkan hasrat hati untuk berguru dengan Imam Malik dengan menjemputnya ke istana khalifah. Dengan tegas Imam Malik berkata, " ilmu itu tidak mendatangi, tetapi didatangi...". Akur dengan kehendak Imam Malik, khalifah harun datang ke masjid untuk berguru.

Moralnya di sini, adat belajar ialah ilmu perlu dicari, bukan tunggu untuk didatangi. Ilmu perlu dicari bukan kerana disuruh, tetapi atas kesedaran diri. Walau siapa pun kita, tinggi mana pun pangkat, banyak mana pun harta, guru perlu dihormati....