Monday, January 28, 2013

Siri Ensiklopedia Melayu: Nyamuk

Dulu, nyamuk tidak sekecil sekarang. Dulu, saiz nyamuk sebesar manusia. Dulu, sekali nyamuk menghisap darah, mangsanya terus mati. Hisap darah manusia, manusia mati. Hisap darah lembu, lembu mati. Semuanya mati sebab kekeringan darah. Jadi, macam mana pula nyamuk boleh jadi sekecil sekarang?

Pada zaman dahulu, di suatu zaman tidak bertarikh, di suatu kampung tidak diketahui nama di Tanah Melayu, para penduduknya telah bersepakat untuk menyediakan korban untuk tentera nyamuk. Tujuannya ialah untuk menghalang daripada tentera nyamuk ini menyerang kampung mereka dan seterusnya mengakibatkan lebih banyak korban. Maka bergilirlah di antara mereka mempersembahkan korban. Setiap kali hari menjelang senja, korban yang selalunya berupa hewan ternakan akan dihantar ke dalam hutan dan dibiarkan. Bila malam menjelma, bala tentera nyamuk datang menuntut habuan.

Tibalah giliran sebuah keluarga miskin untuk menyediakan korban. Keluarga yang terdiri daripada tiga beranak ini tidak punya hewan ternak melainkan sayuran yang ditanam. Maka anak tunggal mereka, si gadis sunti ini menawarkan diri sebagai korban. Menagislah pasangan suami isteri miskin tadi. Pabila langit mulai gelap, gadis tersebut dihantar ke tempat korban.

Sementara menanti kedatangan gerombolan tentera nyamuk, si gadis ini menyalakan unggun api untuk menerangi kelam malam dan menghangatkan dingin malam. Akibat keletihan, gadis tersebut tertidur. Apabila tersedar dari tidur, hari sudah siang, namun si gadis masih bernyawa. Si gadis pulang ke kampung semula dalam perasaan gembira bercampur bingung.

Gegak gempita lah penduduk kampung yang tidak diketahui namanya itu melihat korban mereka masih bernyawa. Ditanya apakah rahsia apakah cerita, dijawab unggun dan asap adalah rahsianya. Pada malamnya, seluruh penduduk kampung membuat unggun api yang besar dan banyak di sekeliling kampung. Oleh kerana unggun api yang besar, maka asapnya pun tebal sehinggakan nyamuk tidak dapat menembusi.

Berita ini tersebar di kampung berdekatan dan kampung yang lain juga turut serta buat perkara yang sama. Akibatnya, nyamuk lari jauh ke dalam hutan, semakin lama semakin jauh. Makanan pun semakin berkurang, tubuh pun semakin mengecil sehinggalah ke saiz seperti hari ini.

Hikayat ini tidak pernah ditulis dalam mana mana buku. Cuma diceritakan dari mulut ke mulut dari orang tua tua. Bila Tanah Melayu dijajah Jepun, cerita ini terbongkar, dan orang Jepun yang bijak mengeluarkan satu produk yang boleh mengeluarkan asap yang diberi nama Ubat Nyamuk Fumakilla Cap Gajah. Kalau difikir logik, mana ada gajah di Jepun? Kenapa produk keluaran Jepun tetapi menggunakan logo gajah, yang habitat asalnya di semenanjung Tanah Melayu?

Dasar Jepang Maling!

Wednesday, January 16, 2013

Isu Berkaitan LISTEN...

LISTEN. Satu perkataan bahasa Inggeris yang bermaksud 'dengar'. Perkataan seerti dengan LISTEN ialah HEAR. Tetapi menurut Cikgu Bahasa Inggeris semasa Tingakatan 3 dulu, sebenarnya terdapat perbezaan di antara kedua-dua perkataan tersebut. Katanya, apabila anda LISTEN, sudah tentu anda HEAR tetapi jika anda HEAR tidak semestinya anda LISTEN. Umpama jika bahan itu adalah aloi, sudah semestinya ia juga adalah logam tetapi jika bahan itu logam, belum semestinya bahan itu aloi. Menurut sumber dari internet, HEAR adalah keupayaan untuk mendengar bunyi manakala LISTEN merupakan satu perbuatan mentaksir bunyi yang didengari.

Contoh: anda melayari facebook disamping televisyen yang terpasang. Ketika khusyuk melayari facebook, telinga anda mendengar segala bunyi yang dikeluarkan oleh televisyen tersebut tetapi anda tidak tahu apa bunyi tersebut. Jika bunyi itu lagu, anda tidak tahu lagu apa yang dimainkan. Jika bunyi itu perbualan, anda tidak tahu apa yang dibualkan. Ini yang dikatakan anda HEAR tetapi tidak LISTEN kepada televisyen tersebut. Sama seperti dalam kuliah Material Technology, 10 minit pertama anda LISTEN, selepas 10 minit tersebut anda HEAR. Mengelamun entah ke mana. Begitu juga ketika khutbah Jumaat.

Ada beberapa indikator yang menunjukkan sama ada teman anda sedang LISTEN kepada apa yang anda katakan, atau dia sekadar HEAR. Lihat pada mata dia. Jika matanya tajam merenung anda, dengan dahi yang berkerut dan bibir yang dimuncungkan, maka dia sedang LISTEN kepada apa yang ada sampaikan. Jika bulat lain macam, dia sedang HEAR. Pada masa ini, melempang adalah disyorkan. Maka, jika seseorang hendak sampaikan sesuatu, cuba LISTEN dan jangan sekadar HEAR.

I'm Sorry, what was the question again?

Tuesday, January 15, 2013

Apa, Kau Ingat Kau Seorang Je Yang Ada Masalah?

Semua orang pernah ada masalah. Tidak pernah seorang pun manusia ini yang tidak pernah hadapi masalah. Sama ada masalah kecil atau besar. Masalah melanda tanpa mengira peringkat usia dan darjat keturunan. Orang miskin ada masalah, orang kaya pun ada masalah. Orang sakit ada masalah, orang yang sihat pun ada masalah. Pelajar ada masalah, pensyarah bagi masalah. Rakyat ada masalah, pemimpin pun ada masalah.

Penyanyi Lenka berkata, trouble is a friend. Ini kerana masalah sering melawat kita tanpa duga. Puan Sharifah Zohra Jabeen berkata, binatang pun ada masalah. Ikan ada masalah, kucing ada masalah, anjing ada masalah, burung pun ada masalah. Ark... Ark... Ark... Ultraman? Ultraman pun ada masalah.

Pendek kata, hampir semua makhluk menghadapi masalah. Yang membezakan antara kita ialah macam mana kita berhadapan dengan masalah kita. Ada yang bila ada masalah, dia pergi makan. Ada yang pergi bercuti. Ada yang berkaraoke. Ada yang membeli belah. Ada yang solat. Ada yang menjerit sekuat hati di puncak bukit. Ada yang luahkan kepada orang yang dipercayai dan ada yang luahkan di Facebook.

Bagaimanapun caranya, pastikan ia berkesan. Tidak menambah masalah yang lain dan paling penting selesaikan lah secara berakal, bukan secara dangkal.

Thursday, January 10, 2013

Untunglah Rakyat Malaysia...

Untunglah rakyat Malaysia. Negara aman, tiada gempa bumi, tiada gunung berapi, tiada ribut taufan. Jika ada pun, banjir dan angin monsun sahaja. Cuaca pun molek, tidak terlalu sejuk, tidak terlalu panas. Pendek kata, jauh dari bencana alam dan cuaca mendamaikan. Untunglah...

Untunglah rakyat Malaysia. Dulu isi buminya kaya dengan bijih timah, kini isi lautnya kaya dengan petroleum. Tanahnya subur, kaya dengan tanaman. Dulu gah dengan getah, kini dengan kelapa sawit. Pendek kata, di laut dan di darat kaya dengan hasil bumi. Untunglah...

Untunglah rakyat Malaysia. Tak perlu ke Hawaii untuk berjemur di pantai yang cantik. Tak perlu ke Himalaya untuk menikmati dinginnya cuaca gunung. Cukuplah ada pulau yang indah dan gunung yang tinggi di kepulauan Borneo sana. Pendek kata, negara cantik pemandangan menarik. Untunglah...

Untunglah rakyat Malaysia, rakyatnya berbilang kaum. Tak perlu ke India untuk menghayati budaya masyarakat India. Tak perlu ke China untuk melihat budaya Cina, tak perlu ke Indonesia untuk memahami masyarakat Melayu. Pendek kata, Semua ada depan mata. Untunglah...

Untunglah rakyat Malaysia kerana orang-orangnya hebat belaka. Yang Melayu dengan sejarah Empayar Kesultanan Melayunya, yang India dengan gahnya Maharajanya, yang Cina dengan kehebatan Dinastinya, nun di Borneo sana dengan keagungan Kesultanan Sulunya. Pendek kata, rakyat Malaysia bangsa hebat, berbudaya, pedagang dan penakluk. Untunglah...

Untunglah rakyat Malaysia. Banyak bantuan rakyat 1 Malaysia. Untunglah...

Leaders come and go. But the rakyat stay. Tanah tumpahnya darahku....

Tuesday, January 8, 2013

Isu Penerokaan Tanah Secara Haram Di Gua Musang: Satu Analisis

Beberapa hari ini kecoh di akhbar Kosmo! mengenai isu Penerokaan Tanah Secara Haram Di Gua Musang. Sudah menjadi kebiasaan apabila hampir ke pilihanraya, pelbagai isu politik akan ditimbulkan oleh parti parti politik. Satu pihak menyerang, pihak yang satu lagi menepis. Umpama beradu Silat lagaknya.

Pelbagai teori dan cerita cerita tambahan akan kedengaran, ada di antaranya bersumberkan dari entah mana. Aku sebagai Melayu sejati sudah tentu akan mengikuti perkembangan politik semasa, selain daripada perkembangan pasukan Bolasepak Selangor. Dan aku ada analisis tersendiri.

Perhatikan gambar dibawah, yang diambil dari akhbar Kosmo! Perhatikan baik baik gambar tersebut, kerana gambar ini sebenarnya dapat merungkaikan polemik penerokaan tanah secara Haram Di Gua Musang. Mungkin jurugambar yang mengambil gambar ini pun tidak sedar akan perkara ini. Teliti dengan hati yang ikhlas dan tulus, kerana kebenaran akan terlihat jika melihat ketika hati itu suci bersih.

Sudah nampak jawapan penyelesaian kepada polemik ini? Belum? Biar aku cuba bantu. Perhatikan pada bukit sebelah kanan yang dibulatkan.

Sudah nampak? Masih belum? Okay, jika diperhatikan bentuk bukit tersebut, ia berbentuk segitiga. Atau mungkin tiga segi.

Sekarang sudah nampak bukan? Ya, seperti yang anda lihat, bukit tersebut berbentuk piramid. Ya, piramid. Jurugambar ini telah berjaya menangkap gambar piramid kuno orang Melayu. Kepada yang belum tahu, Orang Melayu memang hebat. Orang Melayu membina piramid terlebih dahulu sebelum orang Mesir dan binaannya lebih besar daripada piramid Mesir. Tidak ramai yang tahu akan perkara ini kerana maklumat ini sengaja tidak dihebohkan oleh pihak pihak tertentu. Ia tersorok dicelah celah hutan banat Malaysia. Dek kerana lama tersorok, maka piramid piramid Melayu kuno ini diliputi pokok pokok hutan lalu hilang dari penglihatan. Sunway piramid tidak dikira dalam kes ini.

Tidak percaya? Kau Google saja piramid Melayu pasti kau ketemu jawapan. Dengan ini diumumkan bahawa isu Penerokaan Tanah Secara Haram Di Gua Musang ditutup dan dikira selesai.

Terima kasih kerana sudi membaca!

Saturday, January 5, 2013

Kesatria Baja Hitam...

Sesiapa yang lahir dekad 80an pasti mengenali adiwira di atas, terutamanya yang lelaki. Itu ialah watak Kesatria Baja Hitam or in english it is known as Black Masked Rider. Zaman sekarang dipanggil sebagai Kamen Rider. Rancangan dari Jepun ini amat popular dahulu, mengalahkan watak adiwira dari Hollywood. Watak ini menjadi sangat popular disebabkan ia mempunyai pakej yang lengkap, kostum yang cantik, motorsikal yang hebat dan hero yang kacak. Pada zaman itu, kira kacak la hero tu. Jika ditanya pada remaja zaman sekarang, sahih la mereka akan kata Justin Bieber lagi kacak. Di bawah adalah gambar hero tersebut sebelum 'bertukar'.

Pada zaman itu, jaket putih dan sarung tangan nampak jari menjadi trend kanak-kanak. Bagi aku, gaya hero ini lebih hebat berbanding gaya kumpulan K-pop. Watak hebat ini dilengkapkan dengan sahabat baiknya iaitu belalang tempur- sebuah motorsikal yang boleh bergerak sendiri apabila diseru. Sebab itu namanya rider.

Seperti mana watak adiwira Jepun yang lain seperti Gaban dan Ultraman, sebelum berlakunya henshin (bertukar), si hero perlu membuat beberapa gaya. Bagi aku, gaya henshin Kesatria Baja Hitam adalah yang terbaik, mengalahkan Gaban dan kapal angkasanya. Kau cari saja di Youtube kamen rider black henshin untuk melihat sendiri atau klik gambar di bawah.

Sadisnya mengenai cerita ini, musuh utamanya ialah adiknya sendiri yang telah dihasut oleh pihak jahat Gorgum. Adiknya digelar Bayang Hitam atau Shadow Moon.

Dan seperti mana Ultraman yang mempunyai banyak jenis, begitu juga dengan watak Kamen Rider. Pelbagai evolusi telah dilakukan agar watak ini dapat kekal sehingga kini. Namun begitu, Kamen Rider Black dan Kamen Rider Black RX adalah yang terbaik!

Aku rindu zaman kanak kanak......